Monday, July 12, 2010

Sabar?

“Anak saya ni dah sihat tapi itupun doktor tak nak bagi balik ke? Dah dekat seminggu dia kat hospital ni. Doktor bodoh!”


“Doktor ni, cucuk anak saya. Cucuk sana, cucuk sini. Doktor ingat anak saya ni kambing ke apa?”


Afwan jika dialog diatas kedengaran agak kasar. Tapi dialog itu bukan rekaan semata-mata. Dialog itu suatu realiti kehidupan yang berlaku di sebuah wad kanak- kanak di hospital terkemuka di ibu Negara. Dialog ini mungkin hanya secebis gambaran tentang suasana di sebuah hospital yang pasti punya pelbagai ragam manusia.


Beberapa hari emak berkampung di hospital kerana menemankan adik yang sakit lelah, itu yang emak ceritakan pada saya. Pada mulanya saya tertawa lucu kerana emak juga bercerita sambil ketawa. Kemudian, tiba-tiba diri ini terfikir, bagaimana jika suatu hari nanti diri sendiri berdepan dengan situasi yang sama? Terpaksa berdepan dengan caci maki dan herdik. Terpaksa menempuh pelbagai ragam pesakit.


Diri ini, suatu hari nanti juga akan bekerja merawat manusia. InsyaAllah, dengan izin-Nya jua. Dan apa yang emak ceritakan itu, mungkin juga akan terjadi pada diri ini. Bagaimanakah reaksi diri ketika itu, jika dimarahi sedemikian rupa? Nau’zubillah bukan itu yang dipinta tetapi cuma merenungi apakah tindakan diri jika diletakkan di dalam situasi sedemikian.


Siapa yang tidak terasa hati jika diungkapkan dengan perkataan yang keji dan hina. Lebih-lebih lagi jika perkara baik yang dilakukan disalah fahami. Mampukah diri ini bersabar? Sabar. Cukupkah hanya sekadar sabar? Mungkin ada yang kata, sabar pun ada batasannya. Namun, tidak dinamakan sabar sekiranya ia tidak dapat menahan diri daripada menghadapi segala ujian yang dihadapi. Jadi, adakah sabar punya batasan?


Semuanya bergantung kepada bijaknya hati yang mengawal emosi diri dalam apa jua keadaan dan rasional yang diletakkan sebagai asas pemikiran. Mudah-mudahan diri ini terhindar daripada segala perkara yang tidak diredai-Nya. Moga diri ini sentiasa beringat.


"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang sabar."


yang mengingatkan diri



No comments: