Tuesday, December 1, 2015

Lembar baru

Bismillahirrahmanirrahim

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, keluarga baginda dan para sahabat.

Alhamdulillah masih diberikan kesempatan untuk mencoret disini setelah hampir dua tahun meninggalkan laman ini. Sebelum ini, acap kali terlintas untuk meluahkan bicara disini namun terhenti begitu saja atas kelemahan diri menyusun masa yang ada. Setiap perkongsian yang dinukilkan adalah satu muhasabah dan ditujukan kepada diri sendiri terutamanya.

Begitu pantas masa berlalu, tamat sudah perjalanan tarbiyahku di bumi ceska. Tanggal 24 Jun 2015, secara rasmi tamat peperiksaan terakhir yang melayakkanku untuk menerima segulung ijazah perubatan. Hanya Allah yang tahu segala suka duka yang dialami sepanjang 6 tahun ini.

Diuji saat menjawab soalan bagi subjek terakhir pegajianku. Aku gagal dan terpaksa mengulang subjek tersebut. Allahuakbar! Aku cuba terimanya dengan tenang. Dan yakin bahawa pasti ada hikmah di sebalik ketentuan ini. Namun kesedihan tetap menjengah memikirkan tidak dapat bergraduasi bersama sahabat seangkatan yang lain. Memikirkan adakah diri ini terpaksa menyambung untuk satu lagi semester? Alhamdulillah 'ala kulli hal, akhirnya Allah merezekikanku dengan kejayaan apabila tiba masanya.

Setelah selesai exam terakhir itu, aku menghayati hari demi hari yang berlalu sebelum pulang ke Malaysia. Waktu itu sangat istimewa kerana berada dalam bulan Ramadhan yang mulia. Masih ku ingat, hari pertama menjejakkan kaki ke bumi ceska dahulu adalah ketika bulan Ramadhan (September 2009). Dan aku meninggalkannya juga dalam bulan Ramadhan. Sungguh cantik susunanNya.

Selamat datang ke lapangan terbang Prague.

Pengalaman berpuasa ketika musim panas cukup mencabar dan melahirkan kesyukuran. Syukur kerana Allah memberikan kebolehan untuk diri ini menghadapi hari yang panjang. Syukur kerana berpeluang merasai bukti kekuasaan Allah yang menjadikan siang dan malam. Syukur kerana dikurniakan teman-teman buat pengganti keluarga ketika bersahur, berbuka dan dapat bertadarus bersama. Sangat manis memori itu. Biarpun berpuasa dari jam 3 pagi (Subuh) sehingga jam 9 malam (Maghrib), ia bukan alasan untuk tidak menjadikan diri produktif. Kurang seminggu sebelum Aidilfiri disambut, aku telah kembali ke Malaysia, membawa bersama segala kenangan berharga.

Gambar diambil sehari sebelum pulang. #olomouc

Kini sudah 4 bulan diri ini back for good (BFG). Bermakna telah bermula 'medan' sebenar buat diri ini. Medan yang sangat dirisaukan kerana suasananya berbeza dengan kebiasaan hari-hari ku di bumi ceska. Transformasi dari zaman belajar kepada zaman pengangguran sebelum mula bekerja.

Empat bulan ini penuh CERITA,
Perlu berfikir bagaimana mahu memanfaatkan MASA yang ada,
Bagaimana mencari WANG poket untuk menyara,
Menambah ILMU tidak harus dilupa,
TARBIYAH diri juga harus dijaga,
Selagi bernyawa jiwa ini harus terus BEKERJA.

Di bumi asing itu, aku mengenali tujuan hidup ini. Atas izin dan rahmat Allah jua. Moga akan selalu ingat dan tidak lupa.



"Anda hendaklah berkemampuan untuk membaca dan menulis dengan baik..."

Kerana itu aku kembali kesini untuk berkongsi kisah pengajaran demi manfaat di hari kemudian. Buat diri ini dan juga siapa jua yang berkenaan.

Wallahu'alam.

Seakan melihat sebuah lukisan. #morskieoko




Keep on holding tight to HIM

Tuesday, December 31, 2013

Mutiara kata

"Teruslah bergerak, hingga kelelahan itu lelah mengikutimu.
Teruslah berlari, hingga kebosanan itu bosan mengejarmu.
Teruslah berjalan, hingga keletihan itu letih bersamamu.
Teruslah bertahan, hingga kefuturan itu futur menyertaimu.
Tetaplah berjaga, hingga kelesuan itu lesu menemanimu."
- KH. Rahmat Abdullah

*really need this at da moment*

Teruskan mujahadah, yosh!


Keep on holding tight to HIM

Saturday, July 20, 2013

Hanya Pada Ramadhan

Hanya pada Ramadhan
Setiap hari kan dihiasi dengan tilawah alquran
Dimana-mana dibaca tanpa segan
Demi mengejar pahala yang diganjarkan

Hanya pada Ramadhan
Masjid penuh setiap malam hampir sebulan
Ibu ayah dan anak-anak tidak ketinggalan
Moreh dinanti-nanti sebagai santapan
                                                               
Hanya pada Ramadhan                              
Paling kurang 8 rakaat terawih ditunaikan
Bagi yang rajin, 20 rakaat bukan halangan
Bukanlah bilangan yang menjadi persoalan

Hanya pada Ramadhan
Bangun malam jadi amalan
Munajat dan doa padaNya bersangatan
Mencari malam yang dikatakan lebih baik daripada seribu bulan

Hanya pada Ramadhan  
Makan dan minum siang hari ditahan
Begitu juga nafsu mata, hati dan tangan
Syariat dipatuhi penuh iman
                                   
Hanya pada Ramadhan
Zikrullah dan tasbih jadi rutin harian
Tak lekang menyebut nama Tuhan
Hanya mengharapkan sebuah keampunan

Hanya pada Ramadhan
Beraneka hidangan ibu masakkan
Yang dibeli di bazar juga tak ketinggalan
Asalkan cuma tiada pembaziran

Hanya pada Ramadhan
Padanya terdapat sejuta keberkatan
Malah dijanjikan juga keampunan
Serta dijauhkan daripada azab seksaan

Tiada lafaz yang bisa mengungkapkan
Rasa nikmatnya bulan Ramadhan
Seruan untuk meningkatkan ketaqwaan
Hanya pada Ramadhan


#11ramadhan



Keep on holding tight to HIM

Friday, July 5, 2013

Tribute

Ingatanku terkenang pada mereka
Saat mula berkenalan dan berbicara
Berseloka dan bergurau senda
Berkongsi ilmu dan permata

Empat tahun bersama, singkat terasa
Masa yang berlalu, mematangkan usia
Hari ini mereka memakai jubah tanda berjaya
Terbayar segala kudrat keringat dan usaha

Semester baru yang bakal bermula
Tak kan kulihat lagi kelibat mereka
Kehilangan itu pasti kan kurasa
Hanya doa menjadi penghubung setia

Namun, perpisahan ini cuma sementara
Kutahu ada rezeki nanti,  dapatlah bersua muka
Kini perjalanan harus diteruskan juga
Memburu ijazah seiring membawa  risalahNya

Memori-memori  indah yang dicipta bersama
Menjadi kenangan manis yang takkan dilupa
Motivasi untuk terus melangkah mara
Kerana di mana jua kita, matlamatnya sama

Dari hati yang tulus, maaf dipinta
Dalam tingkah mahupun bahasa
Juga terima kasih yang tidak terhingga
Atas jalinan kasih sayang nan mesra

Semoga Dia jua yang membalas dengan sebaik-baik ganjaran dariNya

Keep on holding tight to HIM

#finalyear#akhowats#willbemissedalways ^^

Friday, June 28, 2013

Hakikat Ujian


Alhamdulillah…

Kini selamat berpijak di bumi kelahiran. Kesempatan dua bulan setengah di sini harapnya dapat dimanfaatkan sebaiknya insyaAllah. Kesukaran sudah pasti terasa kerana jauh dari biah yang sudah menjadi kebiasaan di bumi ceska serta berjauhan dari sahabat2 dunia wal akhirat.

Jauh di sudut hati, ada rasa 'takut' yang bertapak dalam diri.  Rasa seperti tidak selamat walaupun berada di negara sendiri. ^^ Oh, apakah..? Moga Allah jua yang memelihara negara ini dan segala isinya insyaAllah.

Perjalanan pulang dari bumi ceska pada kali ini sedikit berbeza dan mengajarkanku beberapa perkara tentang kehidupan. Membuka mata untuk melihat dengan lebih dekat lagi warna warni bumi Malaysia. Suatu tanda bahawa masih banyak lagi tugasan yang perlu dilakukan oleh makhluk bergelar dai'.

Cabaran dan ujian pastinya akan menimpa setiap makhluk yang menjadi hambaNya di atas muka bumi ini. Di manapun kita berada, kita tak kan lari daripada ujianNya. Dan ujian itu tidak hadir melainkan apa yang telah ditentukan olehNya dan dengan tujuan untuk menguji atas amalan hamba-hambaNya. Seperti yang telah difirmankan dalam surah Al-Mulk ayat 2:

"yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa Maha Pengampun,"

Namun, mungkin saja terkadang kita mudah melatah bila mana ditimpa ujian yang besar dan tidak tertanggung. Rasa seperti ada batu besar menghempap diri, sukar untuk bergerak. Rasa jatuh (baca: down). Ini sememangnya fitrah seorang manusia , seperti mana dalam firmanNya yang berbunyi. ".. Kerana manuasia diciptakan (bersifat) lemah." -An-Nisa ayat 28

Satu lagi ayat daripada kalam suci yang seharusnya menenangkan kita ialah,
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya…" Al-Baqarah ayat 286.

Ayat yang bermaksud lebih kurang sama ada diulang dalam Surah Al-Mukminun ayat 62.

Jadi, setiap apa yang menimpa diri kita itu, adalah kerana Allah tahu kita mampu menanggungnya. Dan sudah pasti hanya Dia  yang dapat menolong kita melaluimya. Lantas, ujian itu sebenarnya adalah tanda bahawa Allah sedang memanggil kita supaya lebih mendekatiNya. Panggilan apakah yang lebih mulia daripada panggilan oleh Yang Maha Esa untuk mendekatiNya?

Bagi yang diuji, mari sama2 reset minda kita. Cara kita memandang sesuatu itu akan menghasilkan keputusan yang berbeza. Berbaliklah kita kepada penilaian yang menggunakan neraca Ilahi semata-mata dalam setiap urusan insyaAllah.

Seems like it is easier said than done.  Maka, mujahadah dan istiqamah sentiasa jadikan peneman.

Pesanan ini ditujukan terutamanya kepada diri ini terlebih dahulu.

#jomKuat#AllahSebaik-baikPenolong ^^









Keep on holding tight to HIM