Bismillahirrahmanirrahim
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, keluarga baginda dan para sahabat. Selamat datang Syawal, berlalu sudah Ramadhan yang dirindui. Begitu pantas masa berlalu. Bagaimana ramadhan kita semua? Apakah kita telah dapat memanfaatkannya sebaik mungkin?
Mari kita berfikir sejenak. Apa yang telah kita capai seusainya ramadhan kali ini? Adakah kita telah berjaya mengecapi matlamat bulan puasa bagi melahirkan hamba-hambaNya yang bertakwa?
2:183
Teringatku pada Ramadhan 1436H (bersamaan tahun 2015). Ketika itu tahun akhirku di bumi ceska. Pengalaman berpuasa semasa musim panas. Sahur seawal jam 2 pagi dan berbuka puasa hampir jam 9 malam. Pada mulanya memang agak meletihkan pabila memikirkan tempoh puasa yang panjang. Namun, apabila melaluinya sendiri, ia tidaklah seperti apa yang difikirkan. Apapun, aku cukup menghargai saat-saat itu. Manis.
Apakah masih akan ada ramadhan untuk kita selepas ini? Pernahkah kita menyoal andai ini ramadhan kita yang terakhir? Peringatan untuk diri sendiri terutamanya. Usia muda; membuatkan kita merasa mati itu masih jauh. Namun kita terlupa bahawa mati itu PASTI dan boleh datang pada bila-bila masa. Tanpa mengenal usia.
Baru-baru ini, aku dikejutkan dengan pemergian seorang sahabat yang seusia denganku. Kami pernah bersekolah di sekolah yang sama. Walaupun tidak mengenalnya rapat, namun aku tahu dia seorang sahabat contoh. Tidak diketahui apa punca pemergiannya. Allah telah mengambilnya di bulan ramadhan yang mulia ini. Moga rohnya dicucuri rahmat Allah yang Maha Esa. Al-fatihah.
Buat diri dan siapa jua yang membaca, mari kita pohon ke hadrat ilahi, agar dikurniakan usia yang diberkati. Dijauhi daripada perkara-perkara yang keji. Serta sentiasa berada dibawah lindunganNya. Moga kita ditemukan lagi dengan ramadhan akan datang.
Keep on holding tight to HIM
No comments:
Post a Comment