Sunday, June 25, 2017

Berlalu sudah Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, keluarga baginda dan para sahabat. Selamat datang Syawal, berlalu sudah Ramadhan yang dirindui. Begitu pantas masa berlalu. Bagaimana ramadhan kita semua? Apakah kita telah dapat memanfaatkannya sebaik mungkin?

Mari kita berfikir sejenak. Apa yang telah kita capai seusainya ramadhan kali ini? Adakah kita telah berjaya mengecapi matlamat bulan puasa bagi melahirkan hamba-hambaNya yang bertakwa? 

2:183 

Teringatku pada Ramadhan 1436H (bersamaan tahun 2015). Ketika itu tahun akhirku di bumi ceska. Pengalaman berpuasa semasa musim panas. Sahur seawal jam 2 pagi dan berbuka puasa hampir jam 9 malam. Pada mulanya memang agak meletihkan pabila memikirkan tempoh puasa yang panjang. Namun, apabila melaluinya sendiri, ia tidaklah seperti apa yang difikirkan. Apapun, aku cukup menghargai saat-saat itu. Manis. 

Apakah masih akan ada ramadhan untuk kita selepas ini? Pernahkah kita menyoal andai ini ramadhan kita yang terakhir? Peringatan untuk diri sendiri terutamanya. Usia muda; membuatkan kita merasa mati itu masih jauh. Namun kita terlupa bahawa mati itu PASTI dan boleh datang pada bila-bila masa. Tanpa mengenal usia.

Baru-baru ini, aku dikejutkan dengan pemergian seorang sahabat yang seusia denganku. Kami pernah bersekolah di sekolah yang sama. Walaupun tidak mengenalnya rapat, namun aku tahu dia seorang sahabat contoh. Tidak diketahui apa punca pemergiannya. Allah telah mengambilnya di bulan ramadhan yang mulia ini. Moga rohnya dicucuri rahmat Allah yang Maha Esa. Al-fatihah. 

Buat diri dan siapa jua yang membaca, mari kita pohon ke hadrat ilahi, agar dikurniakan usia yang diberkati. Dijauhi daripada perkara-perkara yang keji. Serta sentiasa berada dibawah lindunganNya. Moga kita ditemukan lagi dengan ramadhan akan datang. 




  Keep on holding tight to HIM

Wednesday, May 17, 2017

KEHIDUPAN



Bismillahirrahmanirrahim


Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, keluarga baginda dan para sahabat. Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi atas kesempatan yang diberikannya untuk masih lagi mencoret disini.

Sudah dua tahun berlalu sejak kali terakhir aku menulis di sini. Tika itu baru beberapa bulan aku menjejakkan kaki di bumi Malaysia. Refleksi seketika pabila membaca semula perasaanku kala itu. Kini segalanya berbeza. Aku kini sedang melalui satu fasa kehidupan yang berbeza daripada sejak aku BFG dahulu. 

Aku kini sudah mula bertugas di sebuah hospital di Kuala Lumpur. Menjalankan tugasku sebagai seorang doktor pelatih. Penjam celik, masa berjalan begitu pantas. April 2016, aku ditempatkan di jabatan pertamaku iaitu di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, atau lebih mesra dengan panggilan O&G. Seperti kebiasaannya apabila memulakan sesuatu yang baru, aku mengambil masa untuk adaptasi dengan tugasku. Daripada merangkak, aku belajar bertatih dan akhirnya berjalan. Tidak dinafikan, acapkali jua diri ini jatuh. Tapi adat jatuh, perlu bangun (read: up and down). Itulah yang telah tarbiyah ajarkan padaku.

Tempoh 4 bulan pertama berakhir. Aku berjaya keluar daripada department O&G on-time. Alhamdulillah. Adalah menjadi harapan setiap doktor pelatih untuk menghabiskan sesuatu posting dengan jayanya tanpa ada delay

Seterusnya, aku ditempatkan pula di jabatan perubatan, atau nama glamournya MEDICAL. Sebuah jabatan yang terkenal dengan kesibukannya. Disinilah tempat yang kita boleh jumpa segala macam jenis penyakit dan belajar banyak perkara. Berbeza dengan jabatan O&G, di medical waktu kerja ialah secara on-call system dan bukan syif sistem. (Setiap hospital mugkin akan ada working hour yang berbeza). Maksud oncall system ialah, doktor pelatih perlu mula bertugas daripada jam 7 pagi sehingga 12 tengah hari keesokan harinya. Itu pun jika semua kerja telah siap. Jika tidak, terpaksa lah stay sehingga siap kerja. Memenatkan itu sudah semestinya. Badan sangat letih dan mata hanya menanti untuk dipejam. Jika perlu memandu untuk pulanng sewaktu post-call, terpaksalah juga jegilkan mata ini. Hanya mengharapkan dijauhkan dari segala musibah yang tak diingini. 

Tempoh 4 bulan kedua berlalu, namun aku masih tidak dapat menghabiskan perjalananku di jabatan medical. Aku diuji. Diuji dengan beberapa ujian yang membuatkan aku terpaksa melalui tempoh lanjutan di jabatan ini. Waktu itu sangat getir dan merisaukan memikirkan nasibku di jabatan ini. Aku diberikan beberapa surat amaran atas kesilapan dan kecuaian yang aku lakukan dalam tugas harianku. Selain daripada itu, aku turut diuji dengan kegagalan dalam assessment ku dijabatan ini. 

Hari demi hari berlalu. Akhirnya pada bulan Mac 2017 aku berjaya melepasi ujian penilaian yang ditetapkan. Aku hampir terpaksa ditukarkan ke hospital lain kerana tempoh lanjutan yang melebihi lapan bulan. Namun, setelah rundingan oleh pihak yang berkenaan, aku dibenarkan untuk meneruskan khidmat di hospital yang sama, tetapi perlu menghabiskan tempoh lanjutan iaitu sehingga bulan Mei. Aku akur. Moga ini yang terbaik. Aku yakin setiap yang disusun oleh Pencipta itu adalah yang terbaik buat hamba-hambaNya. Akhirnya, tamat jua khidmatku di medical.

Esok aku akan bertukar ke jabatan yang ketiga. Aku masih tidak mengetahui akan ditempatkan dimana lagi. Maka, bakal bermula tempoh tagging bagi seorang doktor pelatih. Bertabahlah wahai diri. 

Ingin aku terus mencoret namun masa tidak mengizinkan. Moga diberikan lagi kesempatan masa dan idea. 

Akhirulkalam.





Keep on holding tight to HIM