Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, keluarga baginda dan para sahabat.
Alhamdulillah masih diberikan kesempatan untuk mencoret disini setelah hampir dua tahun meninggalkan laman ini. Sebelum ini, acap kali terlintas untuk meluahkan bicara disini namun terhenti begitu saja atas kelemahan diri menyusun masa yang ada. Setiap perkongsian yang dinukilkan adalah satu muhasabah dan ditujukan kepada diri sendiri terutamanya.
Begitu pantas masa berlalu, tamat sudah perjalanan tarbiyahku di bumi ceska. Tanggal 24 Jun 2015, secara rasmi tamat peperiksaan terakhir yang melayakkanku untuk menerima segulung ijazah perubatan. Hanya Allah yang tahu segala suka duka yang dialami sepanjang 6 tahun ini.
Diuji saat menjawab soalan bagi subjek terakhir pegajianku. Aku gagal dan terpaksa mengulang subjek tersebut. Allahuakbar! Aku cuba terimanya dengan tenang. Dan yakin bahawa pasti ada hikmah di sebalik ketentuan ini. Namun kesedihan tetap menjengah memikirkan tidak dapat bergraduasi bersama sahabat seangkatan yang lain. Memikirkan adakah diri ini terpaksa menyambung untuk satu lagi semester? Alhamdulillah 'ala kulli hal, akhirnya Allah merezekikanku dengan kejayaan apabila tiba masanya.
Setelah selesai exam terakhir itu, aku menghayati hari demi hari yang berlalu sebelum pulang ke Malaysia. Waktu itu sangat istimewa kerana berada dalam bulan Ramadhan yang mulia. Masih ku ingat, hari pertama menjejakkan kaki ke bumi ceska dahulu adalah ketika bulan Ramadhan (September 2009). Dan aku meninggalkannya juga dalam bulan Ramadhan. Sungguh cantik susunanNya.
Selamat datang ke lapangan terbang Prague. |
Pengalaman berpuasa ketika musim panas cukup mencabar dan melahirkan kesyukuran. Syukur kerana Allah memberikan kebolehan untuk diri ini menghadapi hari yang panjang. Syukur kerana berpeluang merasai bukti kekuasaan Allah yang menjadikan siang dan malam. Syukur kerana dikurniakan teman-teman buat pengganti keluarga ketika bersahur, berbuka dan dapat bertadarus bersama. Sangat manis memori itu. Biarpun berpuasa dari jam 3 pagi (Subuh) sehingga jam 9 malam (Maghrib), ia bukan alasan untuk tidak menjadikan diri produktif. Kurang seminggu sebelum Aidilfiri disambut, aku telah kembali ke Malaysia, membawa bersama segala kenangan berharga.
Gambar diambil sehari sebelum pulang. #olomouc |
Kini sudah 4 bulan diri ini back for good (BFG). Bermakna telah bermula 'medan' sebenar buat diri ini. Medan yang sangat dirisaukan kerana suasananya berbeza dengan kebiasaan hari-hari ku di bumi ceska. Transformasi dari zaman belajar kepada zaman pengangguran sebelum mula bekerja.
Empat bulan ini penuh CERITA,
Perlu berfikir bagaimana mahu memanfaatkan MASA yang ada,
Bagaimana mencari WANG poket untuk menyara,
Menambah ILMU tidak harus dilupa,
TARBIYAH diri juga harus dijaga,
Selagi bernyawa jiwa ini harus terus BEKERJA.
Di bumi asing itu, aku mengenali tujuan hidup ini. Atas izin dan rahmat Allah jua. Moga akan selalu ingat dan tidak lupa.
"Anda hendaklah berkemampuan untuk membaca dan menulis dengan baik..."
Kerana itu aku kembali kesini untuk berkongsi kisah pengajaran demi manfaat di hari kemudian. Buat diri ini dan juga siapa jua yang berkenaan.
Wallahu'alam.
Seakan melihat sebuah lukisan. #morskieoko |
Keep on holding tight to HIM